Dermakanlah 1 klik Disini

Friday, July 29, 2011

Harimau kecundang

KEHADIRAN kira-kira 90,000 penyokong gagal membangkitkan semangat Harimau Malaya untuk memadamkan kelebihan dua gol Singapura pada aksi timbal balik di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam.

Skuad kendalian ketua jurulatih negara, Datuk K Rajagobal sekadar mencatatkan keputusan seri 1-1 sekali gus membolehkan negara jiran itu mara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2014 zon Asia dengan agregat 6-4.


Ketiadaan kapten negara, Mohd Safiq Rahim yang dilayangkan kad merah jelas memberi kesan kepada jentera tengah skuad negara apabila penggantinya, Ismail Faruqi Ashari gagal mencorakkan sebarang gerakan berbahaya untuk barisan depan negara diketuai Mohd Safee Sali yang dilantik sebagai kapten malam semalam.

Malah Ismail Faruqi dilihat gagal bergandingan dengan baik bersama Amar Rohidan untuk menguasai bahagian tengah membolehkan lawan bebas mengatur serangan ke kubu negara yang dikawal Khairul Fahmi Che Mat dan keadaan bertambah parah apabila tonggak pertahanan tengah berpengalaman, Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak dikeluarkan pada minit ke-22 kerana kecederaan.


Harimau Malaya seharusnya berterima kasih kepada penjaga gol Kelantan itu apabila menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya lawan terutamanya percubaan jarak dekat Qiu Li pada minit ke-10 serta sepakan percuma Mohamad Shaiful Esah Nain pada minit ke-38.


Skuad negara juga sebenarnya mempunyai peluang awal untuk membuka jaringan namun rembatan lemah S Kunanlan dalam kotak penalti pada minit keempat berjaya diselamatkan penjaga gol lawan, Mohamad Izwan Mahbud. Walaupun menyedari kepincangan dalam skuadnya pada babak pertama, Rajagobal masih menaruh kepercayaan kepada kesebelasan pemain yang sama di awal babak kedua sekali gus meyaksikan Aleksandar Duric dan rakan-rakan terus menguasai permainan.

Gol semangat yang ditunggu akhirnya tiba menerusi rembatan penyerang Pelita Jaya, Mohd Safee Sali pada minit ke-57 untuk merapatkan kedudukan 5-4 secara agregat selepas Singapura mencatatkan kemenangan 5-3 di Stadium Jalan Besar, Sabtu lalu.


Namun gol yang membakar api perjuangan pemain negara itu segera dipadamkan Singapura pada minit ke-72 apabila Shi Jiayi akhirnya berjaya menewaskan Khairul Fahmi untuk menyamakan kedudukan.

-sumber mymetro-

No comments:

Post a Comment